Saturday, 26 December 2009

Ilmu Agama dan Diri Kita

Ruangan ini hanyalah luahan perasaan saya semata-mata dan tidak berniat ditujukan atau menjatuhkan mana-mana pihak..

Dalam kehidupan saya selama ini, saya sering melihat bahawa Ilmu (secara semulajadinya) adalah sesuatu yang mesti kita cari, miliki dan kemudiannya dipergunakan ke jalan yang sebaik-baiknya. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam agama kita sekalipun, terdapat banyak seruan ke arah memperbanyakkan ilmu yang berguna. Semakin hari kebelakangan ini, saya merasakan terlalu sedikit yang saya perolehi berbanding dengan usia saya pada ketika ini walaupun sebenarnya saya rasakan sebahagian besar dari kehidupan saya ini berkaitan dengan ilmu pengetahuan formal. Bermula dari sekolah rendah, menengah, diploma, sarjana muda, sarjana dan pada hari ini mengharungi hidup sebagai pelajar/pengkaji di peringkat Doktor Falsafah. Lebih separuh dari usia saya ini telah dihabiskan untuk belajar (mendapatkan ilmu pengetahuan bagi tafsiran peribadi saya).

Sejak kebelakangan ini saya banyak berpeluang untuk melayari (istilah siber) ruangan Facebook dan membaca komen-komen mereka dari kalangan kawan-kawan dan rakan-rakan siber khususnya mereka yang berasal dari Semporna. Agak membanggakan kerana melihat isi perbincangan, komen, pendapat peribadi dan lontaran pandangan mereka mengenai pembangunan sosial dan ekonomi, masyarakat dan pemimpin, serta pelbagai isu lagi menunjukkan perkembangan positif mengenai aliran dan kemajuan pemikiran mereka yang drastik secara relatifnya. Cuma, salah seorang dari mereka (saya kategorikan sebagai anak muda) menarik perhatian saya kerana corak pemikirannya yang banyak menjurus kepada seruan kesedaran, pembangunan ilmu, kemajuan masyarakat yang bersifat keagamaan. Selain dirinya, hanyalah bersifat keduniaan (secara statistikal, hanyalah perkiraan kasar saya). Anak muda ini telah banyak menyedarkan saya. Selama ini saya hanya melihat dunia ilmu ini dari sudut ilmu keduniaan sahaja sehingga hampir-hampir lupa mengenai peri pentingnya menyeimbangkannya dengan ilmu yang lebih penting dan utama, ilmu agama. Memanglah selama ini secara langsung atau sebaliknya saya juga membaca dan menambah pengetahuan dalam ilmu agama ini, tetapi saya akui bahawa terlalu sedikit masa yang telah saya peruntukkan untuknya. Kesannya, terlalu sedikit mengenai ilmu agama yang saya ketahui. Alhamdulillah, kesedaran ini akan saya pergunakan untuk menambah ilmu pengetahuan agama saya sejajar dengan penambahan ilmu keduniaan saya sedang kejar pada ketika ini.

Sememangnya, ilmu di luar sana yang mampu kita miliki hanyalah sekelumit berbanding dengan ilmu yang diciptakan Allah swt. Maka tidak ada sesiapa yang sepatutnya mendabik dada, menyebarkan kepada dunia bahawa dia adalah paling berilmu dan merasakan dirinya adalah dalam kelompok bijak pandai yang perlu diiktiraf sebagai 'Ahli Fikir' atau 'Pemikir'. Semua orang boleh berfikir, tetapi tindakan berfikir itu seharusnya jangan dijadikan istilah yang membolehkan seseorang itu digelar ahli fikir (bagi saya ahli fikir merupakan istilah pengiktirafan pada seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi (istilah ini juga relatif) dalam sesuatu bidang kalaupun tidak semua bidang).

Harapan saya, semoga kita yang berasal dari Daerah Semporna khususnya akan sentiasa memajukan diri dalam proses menimba ilmu pengetahuan. Memang saya akui bahawa mungkin akhirnya kita semua juga mahu kaya dari sudut ekonomi tetapi menguasai ilmu itu juga perlu diseimbangkan khususnya ilmu agama. Semoga ada usaha dari mereka yang berkelayakan dan berkemampuan untuk melahirkan lebih ramai golongan seperti anak muda yang saya sebutkan pada awal blog ini. Saya percaya, memiliki lebih ramai golongan seperti anak muda ini di Daerah kita akan menjadikan kita lebih maju dan sihat dalam soal pemikiran. Bila pemikiran kita 'sihat' (dalam istilah sosial/agama) dan terkawal maka saya percaya, kita akan maju dan seimbang dalam semua perkara. Kita akan melahirkan golongan pemimpin yang berkualiti, golongan usahawan yang lebih berjaya dan bersaing dengan sihat, golongan dermawan (sangat sedikit atau golongan yang hampir-hampir tidak wujud di Semporna) dan sebagainya, yang akhirnya melahirkan masyarakat dan bangsa yang lebih sempurna pada masa akan datang. Saya percaya, ini memerlukan kerjasama semua pihak dan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi permulaan dari peringkat individu yang mempunyai kesedaran akan menyumbang dengan lebih berkesan. Kalau seorang 'anak muda' itu sudah wujud pada hari ini, tidak mustahil esok atau lusa akan wujud lebih ramai lagi seperti 'dia'. Amin....

Tuesday, 15 December 2009

Pemimpin, Ilmu Pengetahuan dan Bahasa Inggeris

Berjumpa lagi,
Kali ini saya ingin membicarakan mengenai pemimpin atau kepimpinan, kaitan mereka dengan ilmu pengetahuan dan Bahasa Inggeris sebagai wadah pengaliran ilmu di kalangan kita.

Baru-baru ini, Tun Mahathir di Berita Harian Online bertarikh 15 Disember 2009 memperkatakan mengenai perlunya bagi seorang pemimpin untuk memiliki tahap pengetahuan dan bidang ilmu yang tinggi bukan sahaja untuk kepentingan dirinya malah untuk kepentingan masyarakat yang berada di bawah pimpinannya. Kenyataan ini sememangnya selaras dengan dapatan kajian dari para ilmuan semasa tempatan dan barat yang mengakui bahawa ilmu pengetahuan merupakan antara ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang pemimpin yang ingin berjaya, khususnya dalam suasana yang memerlukan transformasi dan pembangunan. Walau bagaimanapun, Tun tidak menyatakan secara jelas, apakah tahap ukuran bagi seseorang pemimpin itu untuk digelar sebagai berilmu pengetahuan. Saya sendiri cuba untuk membuat kajian konsep melalui pembacaan bahan-bahan ilmiah tetapi sehingga kini tidak mendapat 'penanda aras' mengenai apa yang dilabel sebagai 'berilmu pengetahuan'. Secara amnya, masyarakat akan melabelkan seseorang itu berilmu apabila dia mempunyai sarjana muda, atau sarjana, atau doktor falsafah (yang selalunya disebut sebagai PhD). Ada juga sumber bacaan saya yang menyebut seseorang itu berilmu apabila dia mempunyai pengetahuan yang lebih dari orang lain (tidak semestinya ijazah atau akademik) dan dengan ilmu itu dia mampu memotivasi, menggerak and menyatu padukan orang-orang di sekelilingnya. Ini bermakna, bila mana seseorang itu mampu memotivasi, menggerak and menyatu padukan rakyat yang dipimpinnya maka bolehlah dikatakan bahawa dia seorang yang berilmu walaupun sebenarnya dia tidak mempunyai sebarang sijil akademik dalam mana-mana peringkat.

Walau apapun tafsiran tahap ilmu pengetahuan itu, saya secara peribadi sangat bersetuju dengan pandangan Tun bahawa pemimpin perlu mempunyai dan menunjukkan tahap pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai aspek khususnya ilmu agama dan ilmu keduniaan. Sejarah Islam dan barat telah membuktikan bahawa penguasaan ilmu adalah faktor penentu dalam kejayaan seseorang, sesebuah negara, bangsa dan juga peradaban. Tengok sajalah apa yang berlaku sekarang, dunia Islam dihina, diperlekehkan dan sebagainya kerana kurangnya penguasaan dalam ilmu pengetahuan walaupun sesungguhnya mereka menguasai sebahagian besar ekonomi dunia. Di sini, saya menyokong penuh pandangan Tun yang mengatakan bahawa perlu bagi kita untuk menguasai bahasa Inggeris kerana bahasa itulah yang pada masa kini menjadi wadah atau perantara dalam pengaliran ilmu. Patriotik, seperti kata Tun tidak semestinya kita hanya tahu bertutur bahasa Ibunda, tetapi Patriotik adalah lebih dari itu termasuklah penguasaaan dalam Ilmu melalui kebolehan bertutur dan membaca dalam bahasa Inggeris.

Melihat kepada Daerah Semporna, saya sedikit gembira kerana melihat kepimpinan pada hari ini khususnya para pemimpin politik bolehlah kita berpuas hati kerana mereka pada asasnya memiliki tahap pendidikan dan pengetahuan yang diperlukan. Namun sejauh manakah pula kita sebagai orang yang dipimpin ini mampu untuk memiliki tahap pengetahuan yang membolehkan kita bangkit untuk maju dan berjaya tanpa perlu bergantung harap pada bantuan kerajaan dan orang lain. Saya sedih bila melihat dan mendengar saudara saudara kita dari kampung-kampung tertentu di Daerah Semporna terpaksa melupakan niat bersekolah kerana terpaksa, atau kerana tidak percaya dengan masa depan yang bakal dikecapi hasil pencapaian yang bakal diperolehi. Tidak kurang juga yang tidak bersekolah kerana tidak mampu untuk membiayai perbelanjaan persekolahan memandangkan kos persekolahan yang semakin naik di sebalik usaha-usaha murni kerajaan. Adakah pemimpin atau masyarakat kita tidak peka? Hasilnya, ramai di antara mereka meninggalkan kampung halaman dan bekerja di tempat lain sama ada sebagai pekerja kilang, pengawal keselamatan, pembantu kedai dan sebagainya yang hanya memerlukan tahap pendidikan yang rendah. Pada jangka pendek, ini mungkin nampak baik, tetapi adakah ianya baik untuk kita semua sebagai sebuah masyarakat di Daerah Semporna secara keseluruhan pada masa akan datang, jangka panjang? Kalaulah ada perincian atau kajian yang dibuat mengenai fenomena yang sedang berlaku ini mungkin barulah kita sedar di mana kesilapan kita sebagai pemimpin dan orang yang dipimpin. Walaupun saya bukan orang Sejarah, TETAPI SAYA PERCAYA BAHAWA KITA PERLU MELIHAT DAN BELAJAR DARI SEJARAH, tanpa ilmu kita akan terkebelakang, tidak kiralah apa jua kejayaan ekonomi dan politik yang kita kecapi pada hari ini.

Pada hari ini, masyarakat di Daerah ini berlumba-lumba mengejar kejayaan ekonomi dan politik, ada yang bersaing secara sihat tidak kurang juga secara 'sebaliknya'. Tidak kurang juga yang menuding jari kepada para Pemimpin setempat, sedangkan mereka tidak menyedari apakah usaha, niat, dan kapasiti para Pemimpin tersebut. Saya percaya, sebagai pemimpin mereka akan cuba melakukan apa yang terbaik untuk masyarakat mereka, kerana mereka lebih sedar dan tahu apa yang mereka perlu lakukan. Sebaliknya, ramai di antara kita pihak yang dipimpin hanya tahu menuding jari dan mengharapkan para pemimpin melakukan semuanya. Rasanya zaman itu sudah berlalu. Kita perlu berusaha sendiri. Pada hari ini, saya melihat ramai generasi muda yang semakin cemerlang dari segi pencapaian ilmu dan ekonomi. Mereka semakin berani bersuara dan bergerak secara individu mahupun berkumpulan untuk merealisasikan keinginan mereka. Semuanya boleh, bila kita ada ilmu pengetahuan dan ekonomi yang baik. Mereka ini adalah golongan pertengahan yang berjaya di bidang akademik kemudian bekerja di sektor kerajaan sama ada sebagai guru, pengurusan, perkeranian atau berusaha sendiri sebagai peniaga dan sebagainya. Mereka tidak terikat dengan mana-mana pihak atau parti politik. Mungkin inilah situasi yang kita kehendaki untuk membangunkan masyarakat secara keseluruhan. Sayangnya, kumpulan ini tidak ramai dan hanya tertumpu dari kalangan keluarga-keluarga dan tempat-tempat tertentu di Semporna. Rasanya golongan inilah yang perlu diberi perhatian secara serius walau apapun tujuannya seperti berpolitik, kemajuan ekonomi, sosial dan juga pembangunan masyarakat secara umumnya. Melihat kepada keadaan semasa, saya percaya, generasi baru ini adalah bakal pencorak kepada kepimpinan dan pembangunan pada masa akan datang.

Akhir kata, saya mengharapkan agar pendidikan, ilmu pengetahuan, masyarakat dan para pemimpin akan dapat membantu kita untuk merealisasikan kemajuan Daerah Semporna.
Terima kasih dan berjumpa lagi.

Sulaiman Tahajuddin,
University of Essex,
United Kingdom.