Ruangan ini hanyalah luahan perasaan saya semata-mata dan tidak berniat ditujukan atau menjatuhkan mana-mana pihak..
Dalam kehidupan saya selama ini, saya sering melihat bahawa Ilmu (secara semulajadinya) adalah sesuatu yang mesti kita cari, miliki dan kemudiannya dipergunakan ke jalan yang sebaik-baiknya. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam agama kita sekalipun, terdapat banyak seruan ke arah memperbanyakkan ilmu yang berguna. Semakin hari kebelakangan ini, saya merasakan terlalu sedikit yang saya perolehi berbanding dengan usia saya pada ketika ini walaupun sebenarnya saya rasakan sebahagian besar dari kehidupan saya ini berkaitan dengan ilmu pengetahuan formal. Bermula dari sekolah rendah, menengah, diploma, sarjana muda, sarjana dan pada hari ini mengharungi hidup sebagai pelajar/pengkaji di peringkat Doktor Falsafah. Lebih separuh dari usia saya ini telah dihabiskan untuk belajar (mendapatkan ilmu pengetahuan bagi tafsiran peribadi saya).
Sejak kebelakangan ini saya banyak berpeluang untuk melayari (istilah siber) ruangan Facebook dan membaca komen-komen mereka dari kalangan kawan-kawan dan rakan-rakan siber khususnya mereka yang berasal dari Semporna. Agak membanggakan kerana melihat isi perbincangan, komen, pendapat peribadi dan lontaran pandangan mereka mengenai pembangunan sosial dan ekonomi, masyarakat dan pemimpin, serta pelbagai isu lagi menunjukkan perkembangan positif mengenai aliran dan kemajuan pemikiran mereka yang drastik secara relatifnya. Cuma, salah seorang dari mereka (saya kategorikan sebagai anak muda) menarik perhatian saya kerana corak pemikirannya yang banyak menjurus kepada seruan kesedaran, pembangunan ilmu, kemajuan masyarakat yang bersifat keagamaan. Selain dirinya, hanyalah bersifat keduniaan (secara statistikal, hanyalah perkiraan kasar saya). Anak muda ini telah banyak menyedarkan saya. Selama ini saya hanya melihat dunia ilmu ini dari sudut ilmu keduniaan sahaja sehingga hampir-hampir lupa mengenai peri pentingnya menyeimbangkannya dengan ilmu yang lebih penting dan utama, ilmu agama. Memanglah selama ini secara langsung atau sebaliknya saya juga membaca dan menambah pengetahuan dalam ilmu agama ini, tetapi saya akui bahawa terlalu sedikit masa yang telah saya peruntukkan untuknya. Kesannya, terlalu sedikit mengenai ilmu agama yang saya ketahui. Alhamdulillah, kesedaran ini akan saya pergunakan untuk menambah ilmu pengetahuan agama saya sejajar dengan penambahan ilmu keduniaan saya sedang kejar pada ketika ini.
Sememangnya, ilmu di luar sana yang mampu kita miliki hanyalah sekelumit berbanding dengan ilmu yang diciptakan Allah swt. Maka tidak ada sesiapa yang sepatutnya mendabik dada, menyebarkan kepada dunia bahawa dia adalah paling berilmu dan merasakan dirinya adalah dalam kelompok bijak pandai yang perlu diiktiraf sebagai 'Ahli Fikir' atau 'Pemikir'. Semua orang boleh berfikir, tetapi tindakan berfikir itu seharusnya jangan dijadikan istilah yang membolehkan seseorang itu digelar ahli fikir (bagi saya ahli fikir merupakan istilah pengiktirafan pada seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi (istilah ini juga relatif) dalam sesuatu bidang kalaupun tidak semua bidang).
Harapan saya, semoga kita yang berasal dari Daerah Semporna khususnya akan sentiasa memajukan diri dalam proses menimba ilmu pengetahuan. Memang saya akui bahawa mungkin akhirnya kita semua juga mahu kaya dari sudut ekonomi tetapi menguasai ilmu itu juga perlu diseimbangkan khususnya ilmu agama. Semoga ada usaha dari mereka yang berkelayakan dan berkemampuan untuk melahirkan lebih ramai golongan seperti anak muda yang saya sebutkan pada awal blog ini. Saya percaya, memiliki lebih ramai golongan seperti anak muda ini di Daerah kita akan menjadikan kita lebih maju dan sihat dalam soal pemikiran. Bila pemikiran kita 'sihat' (dalam istilah sosial/agama) dan terkawal maka saya percaya, kita akan maju dan seimbang dalam semua perkara. Kita akan melahirkan golongan pemimpin yang berkualiti, golongan usahawan yang lebih berjaya dan bersaing dengan sihat, golongan dermawan (sangat sedikit atau golongan yang hampir-hampir tidak wujud di Semporna) dan sebagainya, yang akhirnya melahirkan masyarakat dan bangsa yang lebih sempurna pada masa akan datang. Saya percaya, ini memerlukan kerjasama semua pihak dan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi permulaan dari peringkat individu yang mempunyai kesedaran akan menyumbang dengan lebih berkesan. Kalau seorang 'anak muda' itu sudah wujud pada hari ini, tidak mustahil esok atau lusa akan wujud lebih ramai lagi seperti 'dia'. Amin....
Saturday, 26 December 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum,...
ReplyDeletehari ini saya sudah membaca kesemua 5 tajuk blog cikgu.secara umum, saya mendapati cikgu masih lagi menekankan ilmu pengetahuan, seperti mana masa cikgu mengajar dahulu. oleh itu, sya sudah mencuba untuk reply cikgu "in english" malangmnya, sya gagal untuk menulis dalam bentuk ayat yang betul, sekurang2nya untuk difahami pembaca.
keseimbangan ilmu dunia&akhirat, agak jarang diperkatakan.teringat sya semasa bersekolah dahulu, ramai mak bapa akan mendabik dada dengan anak2 yang cemerlang di sekolah,tetapi mengabaikan hal2 ilmu agama islam yang paling asas.apakah lagi,mau mengajar anak pandai mengaji al-quran.saya sendiri sebenarnya masih lemah dalam hal ini(tarbiyah)
mungkin bersederhana adalah lebih baik untuk kita, tanpa melebihkan ilmu dunia& tidak pula mengabaikan ilmu akhirat.wallalhualam,...
MAGSUKUL,...