Assalamualaikum dan berjumpa lagi,
Beberapa hari lepas ketika sedang berjalan-jalan di sebuah pasaraya di United Kingdom ini, saya merasakan diri saya sangat terasing dalam persekitaran yang sedang saya lalui. Semua orang bercakap atau berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, satu bahasa yang rasanya semua orang pernah dengar, tetapi tidak semua yang dapat menuturkannya dengan sempurna, termasuk diri saya sendiri.
Suasana tersebut membawa pemikiran saya jauh ke daerah tanah tumpah darah saya, Semporna. Mengingatkan kepada zaman persekolahan peringkat menengah ketika saya mula berjinak untuk mempelajari pertuturan bahasa tersebut secara serius. Mengingatkan saya kepada rakan-rakan atau orang-orang tertentu yang akan memperlekehkan atau mengetawakan diri saya setiap kali saya cuba untuk bertutur bahasa tersebut di hadapan mereka. Mengingatkan saya kepada suara-suara yang seolah-olah mengatakan 'anda tidak akan ke mana-mana dengan bahasa itu'...... dan banyak lagi...
Hari ini selepas membaca ruangan komen panjang para pembaca di dalam blog Tun Mahathir http://chedet.co.cc/chedetblog/, saya dapat membuat beberapa kesimpulan mengenai beberapa perkara yang sedang bergolak di negara tercinta ini. Salah satu yang ingin saya sentuh dalam ruangan kecil ini adalah mengenai politik, pendidikan dan juga bahasa Inggeris. Saya suka untuk mengundang pemikiran saya sendiri agar memperkatakannya dalam konteks kecil di daerah saya sendiri.
Saya suka dengan politik tetapi saya masih tidak faham dengan 'beberapa' individu tertentu yang berpolitik dan menganggap diri mereka sebagai orang politik sedangkan saya secara peribadi tidak melihat mereka mempunyai visi, misi atau agenda perjuangan peribadi yang boleh menyumbang ke arah pembangunan politik 'sihat' secara keseluruhannya. Saya mengenali secara dekat sebahagian dari mereka. Kenapa mereka suka politik (atau jelasnya ingin menjadi YB pada akhirnya) pun saya tidak faham (mungkin kerana tahap pemikiran saya masih terlalu rendah dan tidak tahu menahu mengenai politik). Hampir semua pembaca dalam blog Tun Mahathir merasakan pada ketika ini ahli-ahli politik (tidak semua) di negara ini adalah punca ke arah ketidak stabilan negara termasuk aspek perpaduan, pendidikan, ekonomi juga sosial. Golongan ini mereka seolah-olah labelkan sebagai 'harap pagar, pagar makan padi'. Saya tidak tahu di mana saya perlu berpihak, tetapi bagi saya, saya tidak boleh memberi komen banyak kerana saya tidak pernah menjadi 'ahli politik' apalagi menjadi 'YB' kecuali YB=Yang Berhutang. Adakah ini sedang berlaku di Daerah saya? terus terang saya katakan, saya tidak suka untuk memberi komen.
Isu pendidikan adalah antara isu atau masalah lama yang sering dibangkitkan tetapi hingga ke hari ini masih belum ada penyelesaian. Ketika terlibat dalam usaha mengenal pasti punca pencapaian lemah pelajar-pelajar di Daerah Semporna pada tahun 2002, saya sering terfikir adakah mereka benar-benar lemah? atau ianya adalah isu yang telah dipolitikkan untuk kepentingan individu-individu tertentu? Secara purata, saya tidak menafikan mengenai pencapaian akademik anak-anak Semporna yang masih jauh ketinggalan berbanding tempat-tempat lain. Pengalaman saya mengajar di Universiti Malaysia Sabah selama belasan tahun sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada saya bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan lebih serius mengenai pendidikan anak-anak daerah Semporna kalau ingin melihat mereka lebih kompetitif atau berdaya saing pada masa akan datang. Saya masih ingat, dalam tempoh tersebut secara langsung atau sebaliknya, saya sempat memantau perkembangan akademik beberapa bekas/antara pelajar-pelajar terbaik dari sekolah-sekolah daerah Semporna di beberapa fakuliti (sekolah) di UMS khususnya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi. Pencapaian STP/Matrik mereka memang setanding dengan pelajar-pelajar dari daerah lain, tetapi ada yang membuat kisah mereka ini sangat menyedihkan... kemampuan bahasa Inggeris mereka!
Apa ada dengan bahasa Inggeris? apa kaitan dengan pendidikan di daerah Semporna? kisah beberapa orang pelajar-pelajar terbaik dari daerah Semporna yang akhirnya kecundang untuk menjadi terbaik sekali lagi di peringkat Universiti perlu menjadi iktibar. Bukannya mereka tidak pandai, pemalas, kolot, makan 'putu' atau sebagainya, tetapi penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lemah telah membataskan keboleh saingan mereka di peringkat tinggi. Di Universiti, hampir semuanya dalam bahasa Inggeris: kuliah, tutorial, bahan bacaan, tugasan, peperiksaan dan sebagainya, malah sebahagian pensyarah juga hanya bercakap bahasa Inggeris. Bayangkan, jika seorang profesor dari England dihantar ke Semporna diminta mengajar dalam bahasa Bajau pastinya dia juga akan kelihatan seperti orang tidak berpendidikan, apatah lagi anak-anak Semporna yang baru menapak dalam arena pendidikan tinggi diminta bersaing dalam dunia yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris, pastinya mereka akan tewas sekalipun setiap saat mereka berusaha memperbaiki kemahiran bahasa Inggeris mereka. Ibarat dalam pertandingan mendayung perahu, kita terpaksa bersaing dengan orang yang lebih dulu pandai berdayung sedangkan kita baru belajar membuat bot dan pendayung! Kalau lawan itu berhenti berdayung mungkin kita boleh kejar dan tewaskan, bagaimana jika lawan itu terus berdayung, dan terus berusaha memperbaiki teknik dayungan, serta teknologi bot dan dayung? Adakah boleh ditewaskan? mungkin sebahagian pembaca akan terfikir...'tidak mustahil' .... saya bersetuju, tetapi dengan tambahan.... 'agak mustahil'. Di manakah silapnya sehingga anak-anak Semporna ini menanggung kesannya? membuatkan mereka malu untuk berucap dan bercakap dalam bahasa Inggeris di kalangan rakan-rakan sekelas; membuatkan mereka tertewas dalam perjuangan mereka.
Masalah yang timbul disebabkan bahasa Inggeris tidak hanya terhenti di peringkat pengajian. Kalau diteliti komen beberapa pembaca dalam blog Tun Mahathirhttp://chedet.co.cc/chedetblog/ dan yang lain-lain, masalah ini juga dihadapi oleh mereka yang berada di alam pekerjaan, perniagaan dan sebagainya. Mereka terpinggir kerana tidak mahir berbahasa asing tersebut.. terpinggir di negara yang bahasanya adalah bahasa Melayu! Kalau mereka yang berada di Tanah Semenanjung (yang pada dasarnya lebih ramai cendikiawan berbanding di Sabah) sudah merasa bahangnya, apatah lagi kita yang berada di daerah Semporna. Bandingkan saja Semporna dan Kota Kinabalu, manakah pelajarnya yang lebih baik berbahasa Inggeris? kalau ada yang mengatakan Semporna lebih baik, mungkin beliau terpaksa membuat kajian teliti untuk membuktikan pendapatnya. Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah, kita di Sabah ini agak tertinggal berbanding rakan-rakan kita dari Tanah Semenanjung, dan......... kita di Semporna pula lagi jauh tertinggal dengan mereka yang berada di Kota Kinabalu. Kiralah sendiri betapa jauhnya kita untuk bersaing dengan mereka di sana.! Adakah kita harus terus berada di ruang lingkup yang ada sekarang? sampai bila? mungkin saya boleh katakan saya tidak kisah kerana saya sudah ada pekerjaan, saya sudah boleh bertutur bahasa Inggeris (walaupun tunggang terbalik), dan anak-anak saya sudah boleh bertutur lebih baik dari saya (kerana bersekolah di England). Tetapi adakah itu 'adil' untuk masyarakat saya? TIDAK SAMA SEKALI!...
InsyaAllah.. kita sambung lain kali... mata ini perlu rehat. Banyak juga tanggung jawab lain yang perlu saya laksanakan.
Thursday, 1 October 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
cikgu,...
ReplyDeletesaya masih ingat cikgu bercerita dahulu, orang luar tidak akan memandang kamu dengan hormat atau dimuliakan (mungkin?) bukan kerana bahasa inggeris, tetapi kerana ilmu pengetahuan. juga kerana harta dunia (yang bertuah dimiliki oleh orang2 kaya dengan usaha atau mungkin diwarisi)
dalam hal ini, saya sebenarnya beranggapan penguasaan bahasa inggeris juga ilmu pengetahuan banyak bergantung kepada usaha pelajar/ diri sendiri. hari ini, saya cuma boleh bertutur sedikit& menulis sedikit kerana bekerja dalam bidang perubatan(saya bukan doktor) setiap hari perbualan antara kakitangan hospital, juga rujukan dalam "case note" pesakit yang menggunakan bahasa inggeris membolehkan saya belajar perlahan2 secara sedikit2.
10 perkataan setiap hari untuk dihafal, fornula yang cikgu ajarkan untuk kami dahulu( tolong betulkan kalau saya salah) dalam satu sudut pandang yang lain, saya berharap janganlah sampai bahasa ibunda kita dipinggirkan, kerana ghairah untuk menguasai bahasa malaysia juga bahasa inggeris.
MAGSUKUL,...
Saya bangga dengan usaha anda untuk menguasai bahasa Inggeris ini. Seperti biasa,pasti ada orang lain menganggapnya sebagai tidak penting atau buang masa. Percayalah, setiap kemahiran itu pasti memberi hasil pada bila-bila masa sahaja. Saya harap suatu hari nanti kita dapat berbual dalam bahasa tersebut. Amin.
ReplyDeletetidak tahu apa lagi mau komen...apa yang cikgu sulaiman cakap saya amat2 bersetuju.
ReplyDelete