Saturday, 19 September 2009

Tun Sakaran, Datuk Nasir dan Hari Raya Di Perantauan Ini-2009

13 tahun lepas saya pernah merayakan hari raya di sini tapi rasanya pada ketika itu saya tidak banyak menyedari akan dunia tersirat di sebalik keberadaan saya di situ, pada ketika itu. Hari esok, InsyaAllah buat kali kedua saya dan keluarga akan merayakannya lagi. Kali ini perasaan menghadapinya agak berbeza. Sangat berbeza.

Berbeza bukan semata-mata kerana sedih atau gembira, itu adalah sebahagiannya. Perayaan kali ini, mengingatkan saya kepada perjuangan dan usaha mereka sebelum ini yang telah menjadikan siapa saya pada hari ini. Sebagai budak kampung, memanglah tidak pernah terfikir mengenai akan wujudnya satu waktu dalam hidup kita ini, kita akan berada di satu tempat (perantauan) seperti di United Kingdom dalam waktu-waktu seperti ini, apalagi jika ianya atas biayaan pihak lain (Kerajaan Malaysia) dalam kes seperti saya. Saya merasa bangga kerana berada di sini pada ketika ini, bukan kerana merasa riak atau sebagainya, tetapi kerana usaha murni mereka di luar sana yang membuatkan saya berada di sini.

Jika diperluaskan konteksnya, terlalu banyak pihak yang boleh disebut jasanya dalam membentuk insan seperti diri saya dan juga beratus, beribu, malah berjuta rakyat Malaysia di luar sana yang mulanya hanya budak kampung dari keluarga susah mahupun sederhana dan yang berada; tetapi sekurang-kurangnya sekarang boleh mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri. Mungkin saya boleh bermula dari Kesultanan Melaka, atau Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, atau Tun Hussien, atau Tun Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Perdana Menteri ketika ini, Dato' Seri Najib; tetapi rasanya saya ingin melihat dari konteks kedaerahan, konteks yang lebih kecil dan lebih hampir secara geografi fizikalnya kepada diri saya.

Datuk Sakaran Dandai, sekarang lebih dikenali sebagai Tun Sakaran Dandai adalah antara nama yang tidak mungkin saya lupa dalam kehidupan saya ini. Saya mula mengenalinya ketika saya berumur 7 tahun dan berada dalam darjah 1 di sekolah rendah. Terlalu banyak kebaikan yang saya dengar mengenai dirinya, dan tidak kurang juga yang memandang sinis kepada beliau. Mungkin ideologi politik yang berbeza menjadikan mereka berfikiran seperti itu. Apapun, saya lebih suka melihat dan mendengar dari perspektif diri saya sendiri sebagai manusia biasa. Kalau difikirkan, apa sangatlah yang boleh difikir dan dilakukan oleh budak berumur 7 tahun?, tetapi kerana Tun Sakaran lah antara individu yang banyak menyumbang ke arah pembentukan hidup saya pada hari ini sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Beliau tidak pernah mengenali saya tetapi beliau banyak membantu saya secara terus, mungkin kerana saya mengenali anak beliau (Hjh Asiah) yang saya anggap sebagai keluarga angkat, atau mungkin juga kerana itulah diri Tun yang sebenar. Perkara yang saya tidak lupa adalah ketika beliau menjawat jawatan Menteri dalam kabinet Sabah sekitar awal 90an di mana beliau mengajak saya makan bersama (cuma berdua)di rumah beliau. Ketika itu saya dalam persinggahan di KK dalam perjalanan ke Sarawak untuk meneruskan pengajian ke peringkat Diploma di ITM (UiTM sekarang) dan dalam usia awal 20an. Tempoh singkat perbualan dengan beliau cukup berkesan dalam kehidupan saya. Saya merasa bangga mengenali dan dapat berbual secara terus dengan pemimpin agung ini. Bahasa dan tutur kata beliau terlalu lembut dan sedikitpun tidak memberi kiasan mengenai diri beliau sebagai Pemimpin. Entah berapa ramai pemimpin (atau menganggap diri mereka sebagai pemimpin masyarakat) di luar sana yang mampu dan setanding dengan beliau dalam sikap seperti ini????. Terlalu banyak yang ingin saya perkatakan mengenai beliau melalui pertemuan singkat ini tetapi ruangan ini tidak akan mampu menampungnya. Cukuplah setakat saya katakan, sebagai manusia dan pemimpin yang pernah saya kenali dan temui, dia adalah yang terbaik.

Lagi hebat, ketika hendak bertolak ke Sarawak, Datuk Nasir Sakaran (memang YB pada ketika itu) secara peribadi menghantar saya ke lapangan terbang, dan diri beliau sendiri yang memandu kereta tersebut (ketika kereta 'ninja turtle' beliau). Beliau juga tidak mengenali diri saya, tetapi saya dapat merasakan inilah yang dikatakan pepatah melayu 'bapa borek, anak rintik'. Siapalah saya, kalau difikirkan beliau boleh mengarahkan atau lebih lembutnya memohon pertolongan orang lain untuk menghantar saya, tetapi beliau tidak lakukan. Saya hanyalah budak kampung yang tidak memiliki apa-apa, tetapi tindakan kedua-dua pemimpin ini menjadikan saya lebih menghormati mereka sebagai 'Pemimpin Agung' yang tulin. Hari itu dan ketika itu, mereka memberikan penghormatan yang tinggi pada saya, budak kampung yang tiada apa-apa, tidak memberi apa-apa kepentingan kepada mereka pun sama ada pada ketika itu mahupun pada masa akan datang. Soalnya, berapa ramaikah pemimpin yang mampu melakukan ini semua?. Jika disebutkan semua, banyak lagi yang boleh saya perkatakan di sini. Cukuplah setakat ini. Ada ruang dan masa pasti saya akan sambung lagi.

Hari ini, saya hanya mampu berterima kasih kepada mereka. Rasanya mereka tidak akan dapat dengarpun, dan tidak akan tahupun, apalagi untuk mengenali siapa saya. Tidak perlu.

Bila saya melihat diri saya dan persekitaran kepimpinan yang ada di Daerah Semporna hari ini, terlalu sukar untuk diramal apatah lagi untuk diperkatakan. Mungkin kerana suasana politik dan kehidupan masyarakat sudah berbeza, tidak sama seperti dulu. Dari mana punca perbezaan ini wujud, atau bagaimana ianya wujud mungkin dua persoalan yang sukar diperjelaskan. Saya percaya, pemimpin yang ada sekarang ini adalah juga dari golongan terbaik, dan akan sentiasa melakukan yang terbaik untuk masayarakat di daerah ini. Persoalannya, setelah sekian lama merdeka dan dengan wujudnya DEB, kenapa kita seolah-olah terlalu jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan daerah-daerah lain (fakta ini adalah am dan pendapat peribadi saya semata-mata, mungkin tidak benar dari beberapa perspektif)? Kalau dilihat secara kasar, banyak yang telah kita capai, tetapi sejauh manakah arus pencapaian ini setanding dengan mereka yang berada di luar sana? Pernahkah kita melihat kehidupan mereka yang berada jauh di kepulauan sana..SECARA SERIUS? pendidikan anak mereka? sumber pendapatan mereka? jurang perbezaan hidup mereka dengan mereka yang berada di bandar? arah tuju hidup generasi akan datang mereka? dan sebagainya...

Semoga luahan perasaan ini membibitkan kesedaran atau pertikaian yang membuahkan pandangan dan pemikiran yang positif sesama kita. Jika ada pihak yang mempersoalkan apa jua yang saya perkatakan dalam ruangan ini, itu adalah sesuatu yang positif bagi saya. Alasannya, saya mengharapkan agar ada pihak yang sering prihatin mengenai Daerah tercinta ini sama ada dari segi politik, sosial mahupun ekonominya.

Saya tidak berniat dan langsung tidak berminat untuk menyentuh perasaan mana-mana pihak. Tujuan saya hanyalah meluahkan perasaan dan ingin mencetus percambahan idea untuk kepentingan bersama. Sekian dan jumpa lagi di ruangan yang akan datang. InsyaAllah, saya akan memperkatakan mengenai kehebatan individu-individu tertentu dalam konteks Daerah Semporna dari ruang pandangan peribadi saya sendiri. Terima kasih.

4 comments:

  1. assalamualaikum,... sebagai anak muda yang sejak lahir menetap di semporna, sememangnya saya mengenali Tun Sakaran walaupun cuma nama sahaja. pernah juga sya bertemu dengannya & dapat bersalaman serta mencium tangan Tun sebagai hormat pada orang tua & pemimpin daerah yang disanjungi.

    semasa membaca blog ini, saya berada di kota kinabalu kerana bertugas dengan kerajaan juga kerana tanggungjawab untuk menyara keluarga saya di sini. namun sebenarnya, saya sudah mula merantau sejak berusia 19 tahun. terus terang saya katakan memang saya tidak faham akan perubahan politik semasa di semporna. walaumacammana pun, saya masih menghormati Tun sehingga kini.

    sebagai manusia biasa, kita mesti mengakui tidak ada manusia yang sempurna. namun demikian, kita harus berusaha untuk mencapai apa yang terbaik bagi diri kita sendiri & masyarakat umum amnya. teruskan usaha dan cita2mu mu (sulaiman tahjudin), yang baik dijadikan teladan, yang buruk jadikan sempada.

    MAGSUKUL,...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas komen anda. Sememangnya pandangan matang anda saya terima sebagai satu ilmu kepada saya. Terima kasih dan saya harap anda akan sentiasa memberi pandangan di ruangan ini pada bila-bila masa sahaja. Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,
    his is what knowledgeable people who give their views and open space to people who people are based there. before I discuss the opinion of Solomon's brother, here I say good luck in his career. indeed, if viewed developments in Semporna and highly educated people with careers that have qualities that can change the life of the people of Semporna. I also read a variety of FB, Internet, Blogger and newspaper. About Semporna considered many expressed YB, leaders and scholars, but failed to develop their own area and so did the development of citizens who are regarded as highly educated nor has produced a thinker is the question of how we produce and change the mindset of this region is considered a public leader was born here , but it all just let the stone on the stairs, and sometimes I was sad as a researcher, I often write in different journals, FB, and Blogger and me writing books, to give encouragement to our local children to learn religion is not based only highly educated, but ultimately end up with too pleased with the success, while our knowledge of the intrinsically a dive is to tell the truth and the need for changes to this area that we occupy. although I have not reached the highest level, such as Solomon's brother, but my awareness to inspire children in Semporna, in encouraging them to continue to change in knowledge or do not expect to achieve for those who often cover their mindset. sadly, so many of us who are knowledgeable not dare trigger 'Unsuccessful Delivery to Semporna District civilized' brother Sulaiman as its Semporna which conquered the high-level one might be best to give an idea to resolve this matter. after the later careers. Isyallah ....

    ReplyDelete
  4. LUAHAN SAUDARA TENTANG TUN SAKARAN @ HASYIM BIN DANDAI BIN AJIBUDDIN @ KAJIBUK BIN JAMALUDDIN @ TOLA BIN JALALUDDIN @ AMBALI BIN MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM @ SUNAN DARJAT TENTÁNG KEPERIBADIAN BELIAU YANG SUKA MENOLONG TIDAK MEMILIH PANGKAT DAN KEDUDUKAN PERLU DI BERI PUJIAN

    NUKILAN KERAJAAN BIN HJ PINAMPAN @ MUHAMMAD SULAIMAN BIN HJ JIKATAN @ HASSAN BIN JAHALUDDIN @ KADDA BIN JAMALUDDIN @TOLA BIN JALALUDDIN @AMBALI BIÑ MAULANA SYARIFUDDIN HASYIM @ SUNAN DARJAT

    ReplyDelete